Dalam Tahun 1955 penduduk rumah panjang sekitar Nanga Sikat telah bermesyuarat untuk membuat pungutan suara bagi memohon dibina sebuah sekolah untuk penduduk di kawasan sepanjang ulu Batang Mukah. Hasil dari mesyuarat tersebut, wakil penduduk yang diketuai oleh En. Patrick Wat ak. Tindin telah pergi ke Pejabat Daerah Mukah untuk membincangkan hal penubuhan sekolah dengan Pegawai Daerah. Pegawai Daerah telah menegaskan bahawa peruntukan memang telah disediakan untuk membina sekolah di Nanga Sikat. Namun begitu peruntukan tersebut telah diberikan kepada kawasan Selangau. En. Patrick Wat ak. Tindin dengan rakan-rakannya tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut yang membelakangi kehendak penduduk sekitar Nanga Sikat. Setahun perundingan telah dibuat hinggalah pihak Pegawai Daerah bersetuju untuk menubuhkan sebuah sekolah di Nanga Sikat dengan bersyarat. Syarat penubuhan pula ialah terdapat tanah yang boleh digunakan untuk menempatkan bangunan sekolah, bangunan sekolah dibina secara bergotong- royong dengan perbelanjaan sendiri dan guru yang mengajar mesti dicari sendiri.
Penduduk sekitar yang memang berkehendakan pendidikan formal telah berganding bahu menyediakan bahan-bahan untuk membuat bangunan sekolah dan sebidang tanah telah didermakan oleh En. Patrick Wat ak. Tindin sendiri sebagai tapak bagunan sekolah. Penyediaan dan pembinaan telah mengambil masa sekurang-kurangnya selama dua bulan. Siaplah sebuah bangunan sekolah yang kecil dengan beratapkan daun dan berdindingkan buluh. Kesukaran mencari guru pula menjadi masalah penduduk pada ketika itu. Akhirnya En. Patrick Wat telah pergi berjumpa dengan En Nasa yang berada di Kampung Tellian untuk diambil sebagai guru.
Pada tahun 1958 maka sekolah dibuka dengan penghormatan diberi kepada Tuai Rumah Bajing ak. Sibak yang menamakan sekolah ini sebagai Sekolah Rendah Nanga Sikat dirasmikan dengan jayanya. Guru yang mengajar dengan gaji Tiga Ringgit dan Tiga Gantang Beras dibayar oleh penduduk sekitar mula mengajar dengan baik. Namun ianya hanya mampu bertahan selama 2 minggu sahaja. Guru yang digaji akhirnya diarah oleh pihak berkuasa berhenti mengajar kerana tidak memiliki sijil pendidikan formal.
Halangan tersebut tidak melemahkan semangat En. Patrick Wat dan rakan-rakannya. Akhirnya mereka berjaya memujuk Cikgu Lium ak. Kulum yang mengajar di Balingian pada ketika itu menjadi guru di Sekolah Rendah Nanga Sikat. Beberapa bulan kemudian barulah Cikgu Lium bersetuju untuk berkhidmat di Nanga Sikat. Cikgu Lium ak. Kulum dengan empat puluh enam orang murid telah memulakan pembelajaran formal pada pertengahan 1958 . Seorang guru dengan empat puluh enam orang murid telah berusaha untuk memajukan sekolah dan diri. Akhirnya pada 5 Januari 1959, Cikgu Lium telah dilantik sebagai Guru Besar yang pertama di Sekolah Rendah Kerajaan Nanga Sikat.
Usaha bukan setakat berhenti di situ sahaja, Cikgu Lium dengan sokongan En. Patrick Wat telah memohon peruntukan untuk membina rumah guru memandangkan guru bertambah dan murid semakin ramai. Sekali lagi persetujuan yang diberi oleh pihak kerajaan, pembinaan hanya boleh dibuat jika terdapat tapak tanah yang tidak berbayar. Sekali lagi En. Patrick Wat mencurahkan jasa baktinya untuk mendermakan sebahagian daripada tanahnya untuk menjadi tapak rumah guru.
Sekolah Rendah Kerajaan Nanga Sikat pada mulanya dulu merupakan sekolah tumpuan penduduk sekitar dari Lubuk Bemban sehingga Rumah Mawar sekarang ini. Ini adalah kerana sekolah ini terdapat kelas dari Darjah satu sehingga Darjah Enam pada ketika itu. Sekolah sekitar yang telah dibina cuma setakat Darjah Empat. Maka murid-murid yang melanjutkan pelajaran ke Darjah Lima dan Darjah Enam akan melanjutkan pelajaran mereka di sekolah ini. Kesukaran hidup dengan tiada peruntukan khas kepada murid-murid yang tinggal di asrama, menjadikan persekolahan semakin sukar kerana murid-murid terpaksa berbekalkan beras dan kayu api semasa ke sekolah. Sementara itu, pucuk paku dan kemiding pula menjadi sayur-sayuran untuk lauk seharian. Ada yang berjaya meneruskan sekolah dan ada pula berhenti separuh jalan apabila hasil beras tidak menjadi.
Sehingga kini sekolah yang bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Nanga Sikat telah bertambah maju. Namun begitu jumlah murid-murid telah berkurangan akibat terbinanya sekolah rendah yang lain berdekatan dengan rumah panjang sepajang Batang Mukah.
Guru Besar
Nama Tempoh
1. Lium Anak Kulum 05.06.1959 hingga 31.12.1960
2. Chapi Anak Pagan 01.01.1961 hingga 31.12.1961
3. Anselm Assai Bin Saidin 01.01.1962 hingga 31.12.1967
4. Aki Bin Sebeli 01.01.1968 hingga 31.12.1969
5. Benedict Betty Jimbun 05.01.1970 hingga 31.12.1971
6. Filex Baising Bin Jana 03.01.1972 hingga 31.12.1973
7. Tikok Bin Kiju 01.01.1974 hingga 31.12.1975
8. Gregory Upit Bin Megok 04.01.1976 hingga 31.12.1978
9. Jay Bin Ulih 01.01.1979 hingga 31.12.1981
10. Henry Sibi 03.01.1982 hingga 31.12.1982
11. Sidi Bin Maun 31.12.1982 hingga 15.06.1992
12. Hademin Bin Pati 16.06.1992 hingga 31.10.1993
13. Adeni Bin Jaraiee (memangku) 01.11.1993 hingga 31.12.1996
14. Japar Bin Hoklai 01.12.1996 hingga 30.07.1999
15. Bohari Bin Haji Sabang 21.10.1999 hingga 04.10.2002
16. Rapiee Jaimin Bin Yahya 31.10.2002 hingga 16.02.2006
17. Lawrence Bin Ajim 28.02.2006 hingga 06.2011
18. Affandi Bin Bujang 06.2011 hingga sekarang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan